Wednesday, January 11, 2012

Wednesday, July 09, 2008

Tujuh Peratus Alkohol Sembilan Puluh Tiga Peratus Pangrok!

Aku berdiri depan dia. Separa telanjang menampakkan benda Allah yang melekat di badan aku.

Menonjol ke depan. Aku buat buat runsing.


Aku: Gila. Kenapa sekejap saja dah menonjol ke depan nih?


Sekejap lihat pada dia. Sedang belek-belek buku Richard Dawkins' The God Delusion. Mungkin nak cari gambar-gambar sahaja. Sia-sia usaha dia. Kemudian mataku ke bawah melihat kejadian aneh dalam diri aku.


Dia tak pelik.Aku pelik sebab dia tak pelik. Sah dia malas nak layan. Mungkin dalam hati dia cakap 'Bodoh sangat dia ni.' Betul betul sang purist. True till dead.


Aku: Kenapa hah? Aku tanya sambil senyum nampak gigi taring sebelah.


Dia: Admit it fucker. You are a drinker now.


Aku senyum. Sambil mengusap-usap perut aku.


Aku: Boleh tak perut ni tak jadi buncit?

Wednesday, May 30, 2007

Dalam Ambiens Ketidakadakerjaan

Tiada pejabat untuk ditandang. Tiada kad untuk ditebuk. Belum masanya lagi untuk setkan jam loceng untuk bangun mengikut waktu yang khusus pada pagi hari.

Sangat menyedihkan. Tiba-tiba saya mahu bergantung harap.

Secara ekonomiknya, hidup saya kini sedang mengalami deflasi yang konstan dengan pengurangan bekalan wang sekaligus mengurangkan aktiviti ekonomi saya yang mengunjur kepada spekulasi bahawa saya akan mengalami depresi jiwa sedikit demi sedikit. Saya kini sedang berada dalam ambiens ketidakadakerjaan alias ketidakselesaan untuk hidup dalam status quo. Jadi, perkara yang sepatutnya saya lakukan ialah bekerja. Mudah dan cliche?

Mungkin situasi yang boleh dikatakan melankolik ini bukan menjadi satu masalah jika kita beratap bumbungkan rumah ibu bapa yang menjaminkan makan minum dan juga berbantalkan keselesaan yang maksimal. Tetapi, hidup di tengah-tengah hiruk pikuk bandar dan kerelaan menghidu karbon monoksida menjadikan jiwa saya kelam kabut. Semua hendak dirangkul, semua hendak di rebut. Jangan tunggu hingga peluang itu lari. Ini namanya kompetisi. Tapi saya tidak kuat untuk berlari.

Depresi, ia sedikit-sedikit memamah tulang belulang dan seluruh anatomi yang sedang bekerja sekaligus lingkup dalam ruang ketidakbahagiaan ini. Tidur hingga bermimpikan pocong di tengah hari, makan tidak menentu. Terlentang hingga sakit belakang. Meluahkan emosi kepada kucing hingga emosional menggigit jari. Adakah patut saya menunjukkan sikap amoral terhadap situasi ini, sebab mesti ada yang setan atau, memang saya rendah self-esteem?

Owh, sangat mengantuk bila merenung tepat di hadapan skrin.

Tidur dulu.

Babai.

Nota Kaki:
1. Sila tonton French Film Fest. Cerita yang sangat menarik sekali. http://www.gsc.com.my/2. Lagu yang sedang main semasa menaip - La Piovra band hardcore punk dengan sentuhan Elvis Presley dari Itali.3. Siapa yang sudah dapat kerja kawan-kawan Usmku?

Tuesday, February 06, 2007

Kali Pertama

A: Kali pertama?

B: Ya, kali pertama.

A: Tapi mengapa?

B: Sebab ini bukan kali kedua lah bodoh!

A: (ketawa kecil) Bukan, maksud aku kenapa dulu tidak?

B:Sebab aku bukan macam kau, menggonggong tulang dalam kandang. Cuma menyalak, uang segudang pun datang.

A: Itu nasib.

B: Aku selalu bermimpi.

A: Mungkin itu satu petanda bagi orang seperti kau.

B: Kau jangan cabul!!!

A: (ketawa) Tapi kau jangan bimbang, kebarangkalian buah kelapa untuk jatuh atas kepala kau lebih tinggi daripada kebarangkalian untuk kapal terbang jatuh terhempas.hahaha

B: Nah, makan cili ni. Biar lagi pedas mulut kau berkata cabul.

A: Owh, aku tidak makan pedas.

B: Kau tidak sukakan cabaran.

A: Hahaha. tapi aku kagum dengan kau.

B: Memang kau patut kagum dengan aku.

A: Tapi aku dengar sana banjir.

B: Memanglah, tapi tak pernah pula aku dengar banjir sampai ke langit menghanyutkan kapal terbang.

A: Hahaha. Dah bagi tahu mak kau yang kau nak ke sana?

B: Belum. Mungkin tidak.

A: Hahaha. Mungkin banjir itu satu petanda bagi orang seperti kau.

B: Sial kau!!!

Monday, January 29, 2007

Saya Sedang Bercinta

Semua kakak dan abang fasilitator beratur di depan dewan untuk memperkenalkan diri mereka kepada adik-adik sekolah menengah itu.

"Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh adik-adik sekalian nama akak Wardatunnaujah. Berasal dari Negeri Sembilan, mengambil jurusan kegalaksian dan kajibintang." kata seorang kakak yang pertama memperkenalkan dirinya. Tiba-tiba ada suara mencelah. Suara itu datang dari himpunan adik-adik di depan para fasilitator itu.

"Dah berpunya ke?" kata suara yang tidak dikenali pemiliknya.

Kakak itu tersenyum malu dan berkata "Haa, itu rahsia."

Semua adik-adik lelaki bersorak kegembiraan kerana dapat mengusik kakak itu.

Kemudiannya sesi akak-akak dan abang-abang memperkenalkan diri bersambungan dengan soalan yang pelik-pelik dari adik-adik.

Tinggal seorang sahaja lagi.

Dia cantik. Itu yang nyata.

Baru sahaja memegang mikrofon dan semua orang diam terpikat. Suasana senyap seperti ternampak bidadari dari syurga sedang berbogel di depan mata dan mulut terkunci kerana kejelitaannya. Mujur air liur tidak mengalir menitik-nitik.

"Hai, saya Murni. Pelajar universiti atau fasilitator terakhir memperkenalkan diri hari ini. Saya mengambil jurusan biokimia dan berada di tahun akhir. Ada soalan ke?"

Sekali lagi, " Dah ada pakwe ke?" suara itu jelas dan nyata milik seorang budak yang lagaknya seperti seorang ketua dikalangan kumpulannya. Muka tidak seberapa tapi sangat berani. Dia berani mengusik.

"Saya sedang bercinta."

Whoaaaaaaaa. Suasana dewan menjadi heboh. "Siapa lelaki bertuah tuh" seorang abang fasilitator mula mengusik.

"Saya sedang bercinta dengan tuhan." sambl tersenyum.

Semua tertawa dan cuba untuk mengusik lagi.

"Wah alimnya akak ni. Dahla cantik, alim pulak tuh...Hahaha" Suara itu diikuti dengan hilai ketawa semua orang.

Dengan selamba kemudian Murni berkata,

"Dan saya sedang menunggu cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup kami."

Semua tersenyap.

Tergamam.

Lama.

Seperti terdengar bunyi sangkakala yang pertama padahal masih belum sempat bertaubat.

Thursday, January 04, 2007

Minta Maaf Yek

Hye!

Apa kabar?

Sehat?

Ramai sudah mengatakan yang saya sudah tidak seperti saya yang dulunya. Tapi saya memang tidak menganggap ia sebagai satu perkara yang pelik bin ajaib. Memang manusia itu akan berubah. Tentu sekali tahi saya juga tidak akan sama dengan tahi saya yang semalam. Jadi, perubahan itu semulajadi dan begitu juga dengan semua orang. Saya juga sedar dengan perubahan saya ini. Perubahan ini tidak begitu drastik dan juga tidak ada babak-babak yang dramatik. Cuma berubah bagi menunjukkan saya ini tidak statik. Mungkin saya berubah kepada yang lebih baik atau lebih tidak baik. Pokoknya, manusia berubah. Jadi saya sekarang berubah daripada penulis blog yang prolifik (saya rasa memang tidak sesuai menggunakan perkataan ini) kepada penulis yang sangat tidak menghiraukan blognya sama sekali siang atau malam, panas terik mentari atau hilang bersama-sama dengan kapal terbang yang terbang ke Sulawesi. Saya langsung terus melupakan entri yang seterusnya untuk diletakkan untuk tatapan para pembaca atau pun tatapan satu orang pembaca.

Saya rasa, satu perkataan yang saya fikir yang akan menjawab segala pertanyaan kenapa saya tidak menulis blog sekian lama sudah tentunya adalah 'malas'. Mudah. Akhirnya ia terpacul juga keluar dari mulut saya. Walau saya sering mengelak atau menafikan yang saya ini bukanlah jenis makhluk yang pemalas. Tapi, itulah hakikatnya. Rasa lega seketika. Mungkin jodoh saya bukan di sini. Mungkin di sini hanya untuk mereka yang suka memerhatikan segala persekitaran dunia, kerap berlaku pertemuan minda, membaca segala permasalahan bumi ini meskipun tidak dapat berbuat apa-apa dengannya. Tapi mereka fikir hanya cukup untuk menimbulkan persoalannya sahaja. Cuma memberikan sedikit ruang untuk yang membaca berfikir. Disini juga adalah tempat bagi mereka-mereka yang suka menangguk pengalaman-pengalaman berharga. Tak kiralah pengalaman itu hanya sebutir beras yang dijumpai ditapak kaki, mahupun senyuman seorang gadis yang rasa lega kerana anda telah menjumpakan beg dompetnya yang tercicir hilang. Tapi mereka masih lagi memanfaatkannya sebagai satu detik dalam hidupnya dan terus merakamnya untuk tatapan, bahan pelepas rindu atau satu wadah untuk memutihkan kalbu.

Tapi sekarang sudah jelas yang saya sudah muncul kembali untuk memberitahu kamu semua yang saya datang kembali. Saya sudah cukup sarat dengan alasan saya. Saya sudah fikir masak ranum dengan alaan saya itu. Dan kemudian, saya sedang memikirkan satu perkataan yang paling apologetik yang dapat saya keluarkan untuk mententeramkan hati yang pusing, hati yang kerap kali berbolak balik dengan semangat ingin tahu walaupun apa yang diingintahukan tidaklah begitu penting malah tidak melibatkan aliran dosa pahalanya terjejas dengan teruk. Tapi, semangat ingin tahu lebih afdal dipentingkan . Jadi, untuk tidak mengecewakan mereka, saya mengeluarkan perkataan 'maaf' dari kelompokan kosa kata dari otak saya. Maka, diharapkan dengan perkataan itu dapat menyejukkan hati mereka dan menenangkan mereka.
Tapi itulah, apa yang dapat saya lakukan. Bagi menyelamatkan muka saya dari dipijak oleh segerombolan orang dan untuk terlepas daripada kritikus yang hanya tahu mengkritik tapi akan marah juga apabla diriya dikritik semula. Mungkin boleh dikatakan saya masih lagi terdampar dalam khutub khanah saya, menyelami ilmu yang dalam hingga lemas di dalamnya. Lemas hingga lupa yang saya harus berkongsi dengan yang lain yang haus itu.

Saya minta maaf. Saya hanya malas. Seperti malas orangnya malas. Begitulah saya. Tidak ada perkara yang bagus dilakukan oleh saya melainkan meluangkan masa dengan bermimpi disiang hari dan bertukar-tukar mimpi di malam hari dengan semua para pemimpi. Kami tahu kami hanya bermimpi dan kami suka dengan keadaan kami yang cuma bermimpi. Kami tidak mahu lebih, tidak mahu terlebih-lebih, tidak mahu tidak lebih. Hanya mimpi menyeronokkan urat saraf kami. Tapi tidak mengapa. Asalkan malas saya ini tidak mengapa-apakan sistem peredaran bulan dan terbitnya matahari dari timur. Saya masih suka untuk menjadi malas. Tapi malas saya ini bertempat. Saya malas apabila saya dilingkungi oleh kemalasan. Udara kemalasan yang senantiasa melambai-lambai hingga akhirnya mata tertutup rapat dan mula berzikir. Berzikir yang sia-sia. Tapi itulah. Saya ini hanya orang biasa. Tak dapat memenangkan hati mereka yang gelojoh itu. Walaupun mereka gelojoh, tapi mereka bukan golongan yang dibenci. Kerana mereka tahu gelojoh itu bukan satu dosa. Gelojohnya mereka ini membuatkan mereka lebih beria-ia lagi untuk menjadi seorang manusia. Mereka mahu menjadi seorang manusia yang gelojoh. Gelojoh dengan apa yang terhidang di depan mata. Tapi masih saya tidak dapat menenangkan hati-hati mereka.

Sudah dua perkatan keluar dari mulut saya, malas dan maaf. Memang ia satu perkatan yang susah untuk dikabulkan di dalam mempertahankan alasan. Kerana hati mereka sudah sikit terguris dan sedikit tercalit dengan rasa kecewa. Tapi kemudian. Satu perkataan yang kemudian bakal menimbulkan harapan akan diluahkan. Eh, bukan. Bukan satu perkataan, tapi beberapa perkataan. Yang saya cantumkan menjadi beberapa perkataan. Yang beberapa perkataan itu orang kata akan menjadi ayat. Saya panggil ini ayat harapan. Ayat janji. Cukuplah di sini. Saya Akan Menulis Lagi, Jangan Bimbang.

Wednesday, October 18, 2006

Nobeat Dah Tak Nak Cakap ‘Babi’

Dalam bilik. Seorang diri seperti biasa. Menghadap komputer. Lagu, Power of Love oleh Judy and Mary. Noli yang bagi.Atau Yuki lebih cute lagi. Jari-jemari saya dipujuk untuk menari malam ini.


Setelah kian lama tidak menari, jari-jemari itu dipaksa kembali menari di atas papan kekunci. Tapi mereka merajuk. Saya pujuk. Cuba lagi. Tidak menjadi. Sah mereka merajuk. Hanya lima baris, kemudian mereka berhenti menari. Saya risau. Dulu mereka gembira kerana selalu sahaja diajak menari. Selalu sahaja diajak untuk menjaja revolusi. Saya berjanji kepada mereka, kita akan menjaja revolusi hari-hari. Jadi mereka dapat menari. Paling tidak pun kalau tidak boleh hari-hari kita menari dua hari-dua hari ataupun ikut hari-hari yang cerah mentari atau ikut hari yang saya cuti. Tapi apa yang dijanji tidak menjadi. Mampus la saya macam ni. Nasib baik jari-jemari saya tak datang dalam mimpi jadi Leatherface bawa gerjaji, sangkut badan saya di cangkuk besi dan paksa saya menyanyi lagu Hindi. ish, mimpi ngeri. Gile babi.


Malam ini, saya baru pulang dari Restoran Khaleel. Boleh dikatakan yang saya adalah seorang pelepak Restoran Khaleel yang tegar. Sangat hardcore. Hari-hari Khaleel. Istimewa tidak mahu. Berbual apa sahaja. Sambil itu mata memandang kesana kemari. Takut-takut kalau ternampak gadis-gadis yang berkenan di hati. Lagi best kalau gadis itu memegang buku Ayu Utami atau Noam Chomsky. Pakai pula baju Tragedy. Amboi, taste tinggi. Huhuhu. Sudah penat cuci mata dan saya di sini lagi. Di dalam bilik ini. Sekali lagi. Seorang diri.Keseorangan barangkali. Sedih sekali. Teringat kata-kata panel speaker Rahsia Penulisan Kreatif itu hari. ‘Menulis boleh dikatakan sebagai satu terapi’. Memberi penawar dikala kita sedang sakit di hati. Mencuci serta melangsaikan apa-apa yang terbuku dan yang tak termaki. Jadi saya menulis sekali lagi.


Tapi saya tak tahu hendak menulis apa kali ini. Kepala sudah lali. Mungkin mangli. Takpun sudah tidak lagi berisi. Sebab itulah di bulan puasa, makan di siang hari. Apalah. Saya cuma membiarkan jari-jemari saya menari-nari ikut suka hati. Tidak ada topik yang terperinci. Hanya mahu membuktikan teori yang menulis itu satu tetapi. Tapi jammed berkali-kali. Kalaulah saya masuk sayembara puisi, mestilah saya dapat yang paling corot sekali. Sebab semua buah fikiran dah terkunci dalam 'peti besi', dibawa lari oleh lori bawa orang mati. Sebab itu barangkali. Saya cuba berimaginasi.


Ah, saya menyerah. Tak tahu apa nak jadi dengan saya sekarang ni. Jam sekarang pukul dua pagi. Assignment tak buat lagi. Esok pembentangan giliran saya dengan Che Salwa, Wai Peng dan Ahmad Bukhari (Siapa dia ni?). Kalau tak siap, mana nak cabut lari? Saya cadang nak berhenti kat sini.


Eh, nanti!!!


Tiba-tiba saya tersenyum. Nampak gigi. Ketawa tak kering gusi. Hihihi. Ini bagus ni. Lebih bagus daripada menonton pornografi. Takpun lebih bagus daripada buat seks dengan tangan sendiri. Saya gembira pagi ini. Tak sedar dah sampai sini. Sah, memang betul kata panel speaker itu hari. Menulis memang satu terapi. Hihihi.