Monday, January 29, 2007

Saya Sedang Bercinta

Semua kakak dan abang fasilitator beratur di depan dewan untuk memperkenalkan diri mereka kepada adik-adik sekolah menengah itu.

"Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh adik-adik sekalian nama akak Wardatunnaujah. Berasal dari Negeri Sembilan, mengambil jurusan kegalaksian dan kajibintang." kata seorang kakak yang pertama memperkenalkan dirinya. Tiba-tiba ada suara mencelah. Suara itu datang dari himpunan adik-adik di depan para fasilitator itu.

"Dah berpunya ke?" kata suara yang tidak dikenali pemiliknya.

Kakak itu tersenyum malu dan berkata "Haa, itu rahsia."

Semua adik-adik lelaki bersorak kegembiraan kerana dapat mengusik kakak itu.

Kemudiannya sesi akak-akak dan abang-abang memperkenalkan diri bersambungan dengan soalan yang pelik-pelik dari adik-adik.

Tinggal seorang sahaja lagi.

Dia cantik. Itu yang nyata.

Baru sahaja memegang mikrofon dan semua orang diam terpikat. Suasana senyap seperti ternampak bidadari dari syurga sedang berbogel di depan mata dan mulut terkunci kerana kejelitaannya. Mujur air liur tidak mengalir menitik-nitik.

"Hai, saya Murni. Pelajar universiti atau fasilitator terakhir memperkenalkan diri hari ini. Saya mengambil jurusan biokimia dan berada di tahun akhir. Ada soalan ke?"

Sekali lagi, " Dah ada pakwe ke?" suara itu jelas dan nyata milik seorang budak yang lagaknya seperti seorang ketua dikalangan kumpulannya. Muka tidak seberapa tapi sangat berani. Dia berani mengusik.

"Saya sedang bercinta."

Whoaaaaaaaa. Suasana dewan menjadi heboh. "Siapa lelaki bertuah tuh" seorang abang fasilitator mula mengusik.

"Saya sedang bercinta dengan tuhan." sambl tersenyum.

Semua tertawa dan cuba untuk mengusik lagi.

"Wah alimnya akak ni. Dahla cantik, alim pulak tuh...Hahaha" Suara itu diikuti dengan hilai ketawa semua orang.

Dengan selamba kemudian Murni berkata,

"Dan saya sedang menunggu cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup kami."

Semua tersenyap.

Tergamam.

Lama.

Seperti terdengar bunyi sangkakala yang pertama padahal masih belum sempat bertaubat.

Thursday, January 04, 2007

Minta Maaf Yek

Hye!

Apa kabar?

Sehat?

Ramai sudah mengatakan yang saya sudah tidak seperti saya yang dulunya. Tapi saya memang tidak menganggap ia sebagai satu perkara yang pelik bin ajaib. Memang manusia itu akan berubah. Tentu sekali tahi saya juga tidak akan sama dengan tahi saya yang semalam. Jadi, perubahan itu semulajadi dan begitu juga dengan semua orang. Saya juga sedar dengan perubahan saya ini. Perubahan ini tidak begitu drastik dan juga tidak ada babak-babak yang dramatik. Cuma berubah bagi menunjukkan saya ini tidak statik. Mungkin saya berubah kepada yang lebih baik atau lebih tidak baik. Pokoknya, manusia berubah. Jadi saya sekarang berubah daripada penulis blog yang prolifik (saya rasa memang tidak sesuai menggunakan perkataan ini) kepada penulis yang sangat tidak menghiraukan blognya sama sekali siang atau malam, panas terik mentari atau hilang bersama-sama dengan kapal terbang yang terbang ke Sulawesi. Saya langsung terus melupakan entri yang seterusnya untuk diletakkan untuk tatapan para pembaca atau pun tatapan satu orang pembaca.

Saya rasa, satu perkataan yang saya fikir yang akan menjawab segala pertanyaan kenapa saya tidak menulis blog sekian lama sudah tentunya adalah 'malas'. Mudah. Akhirnya ia terpacul juga keluar dari mulut saya. Walau saya sering mengelak atau menafikan yang saya ini bukanlah jenis makhluk yang pemalas. Tapi, itulah hakikatnya. Rasa lega seketika. Mungkin jodoh saya bukan di sini. Mungkin di sini hanya untuk mereka yang suka memerhatikan segala persekitaran dunia, kerap berlaku pertemuan minda, membaca segala permasalahan bumi ini meskipun tidak dapat berbuat apa-apa dengannya. Tapi mereka fikir hanya cukup untuk menimbulkan persoalannya sahaja. Cuma memberikan sedikit ruang untuk yang membaca berfikir. Disini juga adalah tempat bagi mereka-mereka yang suka menangguk pengalaman-pengalaman berharga. Tak kiralah pengalaman itu hanya sebutir beras yang dijumpai ditapak kaki, mahupun senyuman seorang gadis yang rasa lega kerana anda telah menjumpakan beg dompetnya yang tercicir hilang. Tapi mereka masih lagi memanfaatkannya sebagai satu detik dalam hidupnya dan terus merakamnya untuk tatapan, bahan pelepas rindu atau satu wadah untuk memutihkan kalbu.

Tapi sekarang sudah jelas yang saya sudah muncul kembali untuk memberitahu kamu semua yang saya datang kembali. Saya sudah cukup sarat dengan alasan saya. Saya sudah fikir masak ranum dengan alaan saya itu. Dan kemudian, saya sedang memikirkan satu perkataan yang paling apologetik yang dapat saya keluarkan untuk mententeramkan hati yang pusing, hati yang kerap kali berbolak balik dengan semangat ingin tahu walaupun apa yang diingintahukan tidaklah begitu penting malah tidak melibatkan aliran dosa pahalanya terjejas dengan teruk. Tapi, semangat ingin tahu lebih afdal dipentingkan . Jadi, untuk tidak mengecewakan mereka, saya mengeluarkan perkataan 'maaf' dari kelompokan kosa kata dari otak saya. Maka, diharapkan dengan perkataan itu dapat menyejukkan hati mereka dan menenangkan mereka.
Tapi itulah, apa yang dapat saya lakukan. Bagi menyelamatkan muka saya dari dipijak oleh segerombolan orang dan untuk terlepas daripada kritikus yang hanya tahu mengkritik tapi akan marah juga apabla diriya dikritik semula. Mungkin boleh dikatakan saya masih lagi terdampar dalam khutub khanah saya, menyelami ilmu yang dalam hingga lemas di dalamnya. Lemas hingga lupa yang saya harus berkongsi dengan yang lain yang haus itu.

Saya minta maaf. Saya hanya malas. Seperti malas orangnya malas. Begitulah saya. Tidak ada perkara yang bagus dilakukan oleh saya melainkan meluangkan masa dengan bermimpi disiang hari dan bertukar-tukar mimpi di malam hari dengan semua para pemimpi. Kami tahu kami hanya bermimpi dan kami suka dengan keadaan kami yang cuma bermimpi. Kami tidak mahu lebih, tidak mahu terlebih-lebih, tidak mahu tidak lebih. Hanya mimpi menyeronokkan urat saraf kami. Tapi tidak mengapa. Asalkan malas saya ini tidak mengapa-apakan sistem peredaran bulan dan terbitnya matahari dari timur. Saya masih suka untuk menjadi malas. Tapi malas saya ini bertempat. Saya malas apabila saya dilingkungi oleh kemalasan. Udara kemalasan yang senantiasa melambai-lambai hingga akhirnya mata tertutup rapat dan mula berzikir. Berzikir yang sia-sia. Tapi itulah. Saya ini hanya orang biasa. Tak dapat memenangkan hati mereka yang gelojoh itu. Walaupun mereka gelojoh, tapi mereka bukan golongan yang dibenci. Kerana mereka tahu gelojoh itu bukan satu dosa. Gelojohnya mereka ini membuatkan mereka lebih beria-ia lagi untuk menjadi seorang manusia. Mereka mahu menjadi seorang manusia yang gelojoh. Gelojoh dengan apa yang terhidang di depan mata. Tapi masih saya tidak dapat menenangkan hati-hati mereka.

Sudah dua perkatan keluar dari mulut saya, malas dan maaf. Memang ia satu perkatan yang susah untuk dikabulkan di dalam mempertahankan alasan. Kerana hati mereka sudah sikit terguris dan sedikit tercalit dengan rasa kecewa. Tapi kemudian. Satu perkataan yang kemudian bakal menimbulkan harapan akan diluahkan. Eh, bukan. Bukan satu perkataan, tapi beberapa perkataan. Yang saya cantumkan menjadi beberapa perkataan. Yang beberapa perkataan itu orang kata akan menjadi ayat. Saya panggil ini ayat harapan. Ayat janji. Cukuplah di sini. Saya Akan Menulis Lagi, Jangan Bimbang.